Ismail Sabri tak boleh sewenang-wenang bubar Parlimen

Ismail Sabri tak boleh sewenang-wenang bubar Parlimen – Muhyiddin

ISMAIL  Sabri Yaakob hadir di Dewan Perhubungan UMNO bagi menunggu keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan Parlimen semata-mata memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Perdana Menteri perlu menghormati beberapa perkara yang dipersetujui antara PN dan Barisan Nasional (BN) termasuk soal pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, persetujuan antara kedua-dua belah pihak itu untuk mewujudkan situasi yang agak stabil supaya politik negara tidak berdepan dengan isu lain seperti masalah Covid-19.

Kata beliau, parti dalam PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) termasuk rakan di Sarawak mempunyai bilangan yang lebih besar iaitu 72 Ahli Parlimen manakala UMNO hanya 42 kerusi.

“Soal nak adakan PRU itu, walaupun prerogatifnya Perdana Menteri yang boleh buat keputusan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, tetapi mereka perlu sedar kedudukan Perdana Menteri itu pun kerana atas dasar persefahaman antara parti dalam PN dan BN.

“Persetujuan itu adalah atas dasar beberapa perkara yang kita sepakati antara PN dan Ismail Sabri. Satu daripadanya adalah apabila Perdana Menteri ingin membuat keputusan nak bubarkan Parlimen atau mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, maka beliau hendaklah berunding dan berbincang dahulu dengan pemimpin tertinggi dalam PN.

“Jadi, itu adalah perkara yang kita persetujui. Apapun dari sudut kita berharap apa yang penting bagaimana dalam situasi yang masih belum selesai, proses pemulihan ekonomi yang baru bermula dan Covid-19 masih meningkat, langkah-langkah sebegini (bubar Parlimen) perlu diambil kira,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama di Taman Scientex Utama, Senai, di sini.

Bahang PRU-15 semakin panas setelah BN mengungguli PRN Johor semalam selepas meraih 40 kerusi yang menyaksikan melepasi majoriti dua pertiga, manakala PN mendapat tiga kerusi, DAP (9) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (1), Parti Amanah Negara (1) dan PKR (1).

Malam tadi, laungan ‘bubar Parlimen’ oleh penyokong BN bergema ketika Perdana Menteri berada di bangunan UMNO Johor ketika pengumuman kemenangan gabungan itu.


 MUHYIDDIN YASSIN

Ditanya sama ada akan bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain, Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, perkara tersebut belum dibincangkan memandangkan PRN Johor baru sahaja melabuhkan tirainya.

Dalam pada itu, PN berlapang dada dan menerima keputusan PRN Johor dengan tangan terbuka setelah pengundi di negeri ini telah ‘bersuara’ dan memilih BN untuk menerajui kerajaan negeri.

Bagaimanapun Muhyiddin kecewa apabila peratusan keluar mengundi yang dijangkakan lebih tinggi jauh meleset sama sekali tanpa mengetahui puncanya walaupun dikatakan kebimbangan Covid-19 masih ada. 

PN hanya memperoleh tiga kerusi iaitu menerusi bekas Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal di Bukit Kepong, Abd. Aziz Talib (Maharani) dan Alwiyah Talib (Endau). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya