bas ekspres

Industri bas ekspres berdepan krisis kos tidak seimbang

LAILI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu menyebabkan industri bas ekspres berdepan krisis kos tidak seimbang yang berpanjangan sekiranya tidak mendapat perhatian serius kerajaan.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, kenaikan melambung harga barang penyelenggaraan dan bahan api antara punca utama krisis tersebut.

“Banyak barang berkaitan naik harga, tetapi harga tiket masih pada kadar lama sejak lima tahun lalu. Sedangkan sumber utama ekonomi perkhidmatan ini berdasarkan hasil jualan tiket.

“Sehubungan itu, kami merayu pihak berwajib mengkaji balik harga tiket selaras dengan keadaan semasa bagi mengatasi krisis tersebut sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Laili memberitahu, masih terdapat pengusaha pengangkutan berkenaan belum dapat beroperasi sepenuhnya walaupun sudah dibenarkan.

“Beroperasi semula pun, dalam skala yang kecil sahaja kerana kita terpaksa kurangkan trip ke semua destinasi berikutan penerimaan pengguna terhadap pengangkutan ini sangat berkurangan.

“Contohnya, kalau sebelum ini kita mempunyai lima trip ke sesuatu destinasi tetapi terpaksa dikurangkan menjadi tiga. Dan tiga itupun kadang-kadang tidak penuh,” katanya.

Beliau berkata, bagi meneruskan semula operasi syarikat-syarikat terbabit memerlukan kos yang tinggi untuk penyelenggaraan sebuah bas yang sudah lama tersadai.

“Sebelum meneruskan semula operasi kita mesti pastikan kondisi bas berada dalam keadaan baik demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan untuk penyelenggaraan sebuah bas sebelum memulakan semula operasi. Banyak komponen yang mesti kita periksa balik terutamanya minyak hitam, sistem brek dan tayar,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN