SHAH ALAM: Indeks jenayah di daerah ini mencatatkan penurunan sebanyak 33.3 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Jenayah rata-ratanya melibatkan kes curi kenderaan terutama motosikal dan pecah rumah yang masih terkawal setakat ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, statistik mendapati sebanyak 166 kes jenayah direkodkan polis sehingga semalam.
“Jumlah itu menurun sebanyak 83 kes berbanding 249 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Indeks itu sekali gus mencatatkan penurunan sebanyak 33.3 peratus melibatkan semua kes jenayah di Shah Alam,” katanya selepas majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan surat penghargaan kepada 98 pegawai dan anggota polis selain orang awam serta rakan korporat.
Jelas Baharudin, pemerhatian pihaknya mendapati kes jenayah kekerasan turut mencatatkan penurunan setakat ini.
Tambah beliau, faktor kejayaan itu antaranya tindakan dan langkah pencegahan awal pencegahan berterusan dijalankan pihaknya.
“Selain itu, polis mendapat kerjasama baik orang awam dan media yang membantu membanteras jenayah termasuk isu tular. Menerusi maklumat sahih yang tular itu, ia membantu kita menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN