Ibu tunggal berusia 44 tahun kahwin jejaka pilihan 

Ibu tunggal berusia 44 tahun kahwin jejaka 15 tahun lebih muda

HASIMAH Ahmad berkahwin dengan Muhammad Akimi Ikmal yang berusia 15 tahun lebih muda daripada usianya pada 2 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang ibu tunggal berusia 44 tahun dari Kulim dekat sini berkahwin dengan jejaka pilihannya berusia 15 tahun lebih muda daripada usianya pada 2 Februari lalu.

Suri rumah, Hasimah Ahmad berkata, walaupun usia suaminya, Muhammad Akimi Ikmal baru berusia 29 tahun, namun dia menerima dengan seadanya.

Menurutnya, dia dilamar oleh Muhammad Akimi pada November tahun lepas setelah dua bulan bercinta.

“Perkenalan kami bermula di Facebook apabila suami saya menghantar permintaan untuk menjadi rakan saya walaupun hakikatnya, saya sudah lama mengenali dia yang anak kepada rakan baik arwah suami, Azizan Salleh, 56.

“Dari situ kami mula rapat dan pada November suami saya itu menyuarakan hasrat nak mengahwini saya. Pada mulanya memang terkejut kerana bimbang keluarganya akan bantah tetapi alhamdulillah mereka terima saya sebelum berkahwin pada 2 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kisah pasangan pengantin baharu ini juga tular di media sosial setelah video perkahwinan mereka dimuatkan ke TikTok oleh anak Hasimah, Fatin Farina Azizan, 26, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hasimah berkata, dia tidak menafikan perkahwinan tersebut pada mulanya mendapat bantahan daripada anak sulungnya, Fatin yang bimbang perbezaan umur antaranya dengan suami.

“Bila saya beritahu kami akan berkahwin, Fatin memang tidak setuju kerana dia dan suami hampir sebaya tetapi lama kelamaan setelah tengok keikhlasan suami terutama layanannya terhadap kami sekeluarga, dia jadi teruja.

“Semua persiapan untuk perkahwinan dulu, Fatin yang rancang dan aturkan dari mula sampai habis,” katanya.

Menurut Hasimah, perkahwinan tersebut merupakan kali kedua selepas kematian suami akibat kanser limfoma pada dua tahun lepas.

“Sepanjang dua tahun ini memang banyak lelaki yang mengurat tetapi saya nampak mereka tidak ikhlas dan sekadar nak ambil kesempatan sahaja. Maklumlah saya janda, tetapi saya bukan wanita seperti itu.

“Suami saya ini nampak ikhlas sebab dua bulan kenal sudah ajak kahwin lagipun katanya buat apa nak bercinta lama-lama, bercinta selepas kahwin lebih manis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN