SEREMBAN: Satu pasukan khas telah ditubuhkan pihak Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bagi menyiasat sebuah video tular berkaitan waris pesakit Jahidah Nordin yang tidak berpuas hati dengan penjagaan kakaknya di wad 6A hospital tersebut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, pasukan khas itu yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan telah memulakan siasatan dalaman bagi menyiasat isu tersebut secara teliti.
“HTJ telah mengambil tindakan menghubungi pengadu bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai perkara yang telah dibangkitkan. JKNNS memandang serius isu itu dan memohon semua pihak untuk tidak membuat sebarang andaian sehingga siasatan dalaman ini selesai sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak JKNS akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.
Baru-baru ini telah tular sebuah video yang dimuat naik waris pesakit di aplikasi TikTok yang memaparkan keadaan kakaknya yang didakwa tidak dijaga dengan baik di wad 6A HTJ.
Menerusi video berkenaan berdurasi 17 saat itu ditunjukkan kaki pesakit yang berkudis dan luka bedsore di belakang badannya semakin teruk, malah waris memaklumkan badan kakaknya itu kurus kering dan badan berdaki hitam sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital.
Sebelum ini, media melaporkan keadaan fizikal mangsa keganasan rumah tangga yang koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, berubah menjadi kurus selain luka bedsore di belakang badannya semakin teruk selepas dibenarkan keluar dari Wad HTJ di sini, 11 Mac lalu.
Adiknya, Fauziah Nordin, 40, memberitahu, dia sangat sedih melihat keadaan Jahidah, selain mempersoalkan sama ada pihak hospital wad 6A menjaga kakaknya dengan baik atau tidak memandangkan Jahidah pernah dimasukkan ke wad bersalin hospital sama tetapi keadaannya baik sepanjang sebulan dirawat di situ.
“Saya terkejut apabila melihat keadaan kakak yang sangat kurus. Kakinya dipenuhi kudis dan saya juga mendapati bedsore yang sebelum ini sudah pulih kini sangat teruk.
“Kakak seolah tidak dijaga dan diabaikan dengan kuku tangan dan kakinya panjang. Selepas dibawa balik saya mengelap badannya kerana daki banyak sangat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sri Sendayan di sini baru-baru ini. – UTUSAN










