GEORGETOWN: Hotel-hotel di Pulau Pinang bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pelancong asing bermula 1 April ini selepas larangan kemasukan dikenakan sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pengumuman kerajaan untuk membuka kembali sempadan negara merupakan perkara yang amat dinantikan oleh pemain industri perhotelan.
“Selepas dua tahun menanti sempadan dibuka akhirnya berita gembira ini kami peroleh juga. Jangkaan kami sekitar Jun atau Julai nanti pelancong asing akan mula melancong ke Malaysia, namun kami tetap bersiap sedia lebih awal untuk menyambut ketibaan pelancong,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April depan.
Menurut Raj Kumar, pembukaan sempadan itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan pihak industri perhotelan kembali bernafas setelah lama tidak menerima kedatangan pelancong asing.
“Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pihak hotel sentiasa mematuhinya seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan pelancong,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, penggiat industri perhotelan juga berharap kerajaan dapat membantu mempercepat proses pengambilan tenaga kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) bagi sektor berkenaan sebagai persediaan untuk menerima kemasukan pelancong asing.
“Majikan di hotel pada masa ini telah memohon tenaga kerja dari Bangladesh dan Indonesia untuk sektor berkenaan, namun masih belum diperoleh. Kami berharap kerajaan dapat membantu dengan mempercepat kemasukan pekerja 3D kerana pekerja tempatan tidak mahu bertugas di bahagian berkenaan,” katanya. – UTUSAN