SEREMBAN: Hospital Pakar CMH menyasarkan untuk memperoleh hasil keuntungan sebanyak RM90 juta pada tahun ini berbanding RM86 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.
Presidennya, Datuk Lee Tian Hock berkata, perkara itu didorong dengan keputusan kerajaan untuk beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini.
“Tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke-90, kami menyasarkan keuntungan sebanyak RM90 juta.
“Tahun lalu kami hanya meletakkan sasaran RM85 juta namun kami berjaya mencapai RM86 juta sekali gus tahun ini kami mahu mencapai keuntungan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hospital Pakar CMH Ke-90 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tian Hock berkata, pihaknya juga berhasrat menyenaraikan CMH Holding yang memiliki CMH Medicare Sdn. Bhd. dalam Bursa Malaysia menerusi pasaran ACE pada tahun 2025.
“Pihak hospital juga merancang untuk membina sebuah blok bangunan baharu berdekatan blok sedia bagi menempatkan pesakit dengan melibatkan kapasiti 130 katil kelak,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan segera, Hospital Pakar CMH juga menyediakan peruntukan RM100,000 sebulan menerusi tabung kebajikan hospital berkenaan.
“Peruntukan ini untuk membantu mana-mana pesakit golongan miskin yang memerlukan pembedahan daripada hospital kerajaan agar dapat menjalani rawatan dengan segera. Ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami,” katanya. – UTUSAN










