Hilang hampir 40 jam, mayat lelaki ditemukan terapung - Utusan Malaysia

Hilang hampir 40 jam, mayat lelaki ditemukan terapung

MAYAT Lee Chan Meng ditemukan terapung di Sungai Serting, Bandar Sri Jempol oleh PPDA JBPM selepas operasi pencarian dilakukan sejak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak awal pagi semalam, disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemukan terapung di Sungai Serting, Bandar Seri Jempol di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mayat mangsa, Lee Chan Meng, 65, yang beralamat di Taman Mahsan ditemukan kira-kira pukul 4.55 petang tadi oleh pasukan penyelamat selepas operasi pencarian di lakukan.

“Mangsa telah keluar dari rumah kira-kira pukul 1.30 pagi dan sekitar pukul 4.30 pagi, anak mangsa mendapat panggilan telefon daripada bapa saudaranya yang memaklumkan telah menemukan kasut, cermin mata dan telefon bimbit mangsa berada di tepi Sungai Mahsan.

“Anak mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Bandar Sri Jempol dan pasukan bomba dari Bahau menggerakkan operasi mengesan mangsa di kawasan sungai sepanjang dua kilometer. Pasukan polis digerakkan dalam operasi pencarian di kawasan darat berhampiran taman dan tebing sungai,” katanya dalam kenyataan.

Chang Hook berkata, khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) juga dipanggil untuk mengesan mangsa di kawasan darat berdasarkan pada kasut, cermin mata yang ditinggalkan mangsa di tepi sungai.

“Operasi hari pertama terpaksa dihentikan pada pukul 6 petang semalam disebabkan faktor cuaca dan keselamatan. Mangsa kemudian ditemukan pada hari kedua pencarian oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Waris keluarga telah mengesahkan mayat yang ditemukan merupakan mangsa yang hilang. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol bagi proses bedah siasat esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN