Hasni pesan jangan risau, beliau akan bantu - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Hasni pesan jangan risau, beliau akan bantu – Onn Hafiz

ONN Hafiz Ghazi ketika hadir ke program santai bersama Menteri Besar Johor di Laman Simpang Renggam, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Datuk Onn Hafiz Ghazi mengulangi penghargaannya terhadap Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang sanggup memberi laluan agar beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, tidak terlintas difikirannya menjadi Menteri Besar kerana di peringkat kepimpinan, Hasni adalah pemimpin yang jauh lebih hebat dan memiliki banyak pengalaman selain mempunyai banyak visi dan misi.

“Di bawah kepimpinan beliau, Alhamdulillah kita menang dengan majoriti cukup selesa dan sebelum majlis angkat sumpah saya dapat berbincang dengan beliau. Saya tak pernah lihat seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar.

“Beliau cakap dengan saya Onn jangan risau, pimpin baik-baik, saya akan bantu dan sokong, kita dapat bantu membina negeri Johor yang kita sayangi ini, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya selaku Menteri Besar Johor di hadapan kira-kira 300 penyokongnya di Laman Simpang Renggam, di sini hari ini.

Petang semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam itu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

Onn Hafiz berkata, beliau seakan-akan tidak percaya apabila dicalonkan menjadi Menteri Besar yang baharu.

Katanya, beliau akan sentiasa berjumpa dengan Hasni untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu.

“Supaya yang berpengalaman dapat bergabung dengan yang muda, saya mungkin ada tenaga dan daya tetapi pengalaman beliau jauh lebih banyak dari saya, insya-Allah visi, manifestonya tetap saya akan tunaikan untuk rakyat Johor,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz urut menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim mengemudi pelantikan itu sehingga berjalan dengan lancar, tertib dan sempurna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya