Hasni bukan MB, cadang orang muda terajui Johor

Hasni bukan MB, cadang orang muda terajui Johor

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Spekulasi berkaitan pelantikan Menteri Besar Johor yang ke-19 semakin menarik  apabila Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mencadangkan Johor diterajui orang muda.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan sebentar tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata, di bawah kepemimpinan baharu kelak, Johor menjadi lebih makmur dan sejahtera.

“Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

“Kerajaan negeri di bawah pimpinan saya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.

“Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim. 

“Kini adalah masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” katanya selepas terdapat desas-desus terdapat nama lain dicalonkan sebagai Menteri Besar dan bukan dirinya.

Dalam kenyataan sama, penyandang Menteri Besar Johor ke-18 itu turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan jentera komponen BN yang telah bertungkus-lumus berkempen bagi memenangkan calon dan parti.

Beliau berkata, kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertanding adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

“Tahniah kepada semua calon yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sama ada daripada BN mahupun daripada parti-parti lain termasuk calon Bebas,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 sehingga membawa kepada kemenangan besar BN di Johor.

Terdahulu, persoalan mengenai siapa calon Menteri Besar Johor terus menjadi tanda tanya setelah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tergesa-gesa meninggalkan Bangunan UMNO.

Beliau sebelum itu menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada pukul 2.50 petang dan kembali ke Bangunan UMNO setelah hampir satu jam menghadap baginda.

Tidak lama kemudian, Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Hasni meninggalkan Bangunan UMNO kira-kira pukul 4.30 petang. 

Ketiga-tiga mereka dengan wajah yang serius tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pengamal media yang berkumpul di situ sebelum menaiki kenderaan berasingan meninggalkan kawasan tersebut. 

Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin tersebut bergerak ke kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya