PUTRAJAYA: Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuat kuasa Isnin ini.
Pelantikan itu sekali gus mencatati sejarah kepada jabatan itu apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita demi meningkatkan pembabitan golongan itu sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, Hakimah sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim menggantikan Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib November tahun lalu.
Beliau berkata, pemilihan Hakimah bagi menggalas tanggungjawab itu adalah berdasarkan perkhidmatannya selama 30 tahun khususnya di Jakim.
“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.
“Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim pada 1992,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zuki pada masa sama berharap pelantikan berkenaan dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN