Hak cipta: Peralatan hiburan bernilai RM140,000 dirampas

Hak cipta: Peralatan hiburan bernilai RM140,000 dirampas

SEBAHAGIAN daripada peralatan elektronik berkaitan hiburan yang disita oleh PPDNHEP Pulau Pinang dalam Operasi Hak Cipta di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai peralatan elektronik berkaitan hiburan dalam dua serbuan sempena Operasi Hak Cipta di sekitar kawasan ini, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama wakil Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas menerima aduan daripada wakil pemilik hak cipta.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua premis yang masing-masing terletak di Jalan Perusahaan Juru Autocity dan Jalan Icon City itu mendapati, terdapat set karaoke yang mengandungi salinan langgaran yang digunakan bagi tujuan perniagaan.

“Pegawai serbuan kemudian menyita sebanyak dua unit set karaoke, dua unit amplifier, dua unit televisyen, empat unit speaker serta enam unit mikrofon yang dianggarkan bernilai kira-kira RM140,000 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

Untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya pula kata beliau, pesalah akan didenda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN