Habuk kayu atau sisa cemaran minyak?

Habuk kayu atau sisa cemaran minyak di Pantai Cermin?

ROSLI Osman (kanan) dan Ahmad Ismail ketika melihat kesan sisa tumpahan minyak di persisiran pantai dekat Tanjung Tuan, Port Dickson, semalam. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Susulan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam berkaitan kes tumpahan minyak pada 2020 yang kesannya masih kelihatan di sekitar Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan hari ini memaklumkan hanya terdapat kesan habuk kayu bakau yang ditemui hasil pemerhatian fizikal dilakukan.

JAS Negeri Sembilan menerusi kenyataan berkata, penemuan itu hasil tinjauan pasukan penyiasat di beberapa kawasan di Pantai Cermin juga di kawasan paya bakau iaitu lokasi kejadian melibatkan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan telah menghantar satu pasukan ke lokasi kejadian. Berdasarkan carian di sistem Geospas dan Google Maps, lokasi kejadian melibatkan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Setelah tiba di lokasi, pasukan penyiasat telah memeriksa keadaan air laut di sepanjang Pantai Cermin. Pemerhatian secara fizikal mendapati tiada kesan tumpahan minyak di sepanjang Pantai Cermin dan terdapat kesan habuk kayu bakau di beberapa bahagian sekitar Pantai Cermin.

“Pasukan penyiasat turut melakukan tinjauan secara fizikal di kawasan paya bakau. Hanya kesan habuk kayu bakau ditemui di kawasan paya bakau dan tiada kesan tumpahan atau tompokan minyak ditemui di sekitar kawasan paya bakau tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, Pengarah JAS Melaka, Rosli Osman ketika ditemui semalam mengesahkan, kesan tumpahan minyak yang masih terdapat di sekitar Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan merupakan sisa daripada insiden tumpahan minyak yang berlaku pada Oktober 2020 lalu.

Katanya, hasil tinjauan yang dilakukannya semalam, memang terdapat sisa tumpahan minyak yang masih terkumpul di persisiran pantai Tanjung Tuan.

“Ia kesan tumpahan sisa minyak setahun yang lalu. Bagaimanapun, ia (sisa minyak) tidak akan merebak, hanya tertumpu pada satu kawasan persisiran pantai Tanjung Tuan,” katanya semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, walaupun sudah lebih setahun kejadian tumpahan minyak berlaku di Pantai Cermin di Port Dickson dan juga di Tanjung Tuan, kesan kejadian tersebut masih kelihatan terutama di sekitar kawasan paya bakau.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail berkata, kesan tumpahan minyak masih lagi ada dan ia menunjukkan kejadian tumpahan minyak tersebut begitu memberi kesan kepada alam sekitar dan mengambil masa lama untuk pulih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya