Guan Eng gembira pemimpin besar 2 negara saksi MoU projek terowong

Guan Eng gembira pemimpin besar 2 negara saksi MoU projek terowong

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Lim Guan Eng gembira kerana majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang, disaksikan oleh kedua-dua pemimpin Malaysia dan China.

Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, berkata, MoU itu ditandatangani di antara Kerajaan Pulau Pinang dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) pada 28 April 2011.

CZBUCG merupakan syarikat usaha sama dengan BUCG yang telah dilantik bagi menjalankan projek tersebut.

Menurut saksi pendakwaan ke-23, beliau menerima panggilan telefon sekitar 2011 daripada Guan Eng memaklumkan bahawa Wen Jiabao yang ketika itu Perdana Menteri China dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri majlis menandatangani MoU yang diadakan di Putrajaya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Zarul Ahmad yang merupakan saksi utama pendakwaan menjawab, Guan Eng berasa gembira kerana MoU tersebut ditandatangani di hadapan kedua-dua perdana menteri.

Beliau berkata, Guan Eng memaklumkan, banyak ‘mata merah’ ekoran termeterainya MoU tersebut.

“Mata merah atau `envy’ itu saya rasa ditujukan kepada MCA,” ujarnya ketika ditanya oleh pihak pendakwaan pemahamannya berhubung perkataan tersebut.

Sementara itu, Zarul Ahmad ketika membacakan pernyataan saksinya berkata beliau berasa terharu dan bersyukur kerana syarikatnya (CZBUCG) dianugerahkan projek mega bernilai RM6.34 bilion.

Terdahulu, pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Muhammad Nazree Mansor, 32, berkata, pihaknya tidak membuat rakaman video ketika merekod percakapan seorang ahli perniagaan pada 14 Ogos 2021 berkaitan siasatan terhadap Guan Eng.

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo, beliau menjelaskan, rakaman video bukan mandatori kerana mendiang Datuk Ewe Swee Kheng merupakan saksi pendakwaan, bukan suspek dalam kes itu.

Saksi turut ditanya berhubung butiran percakapan Swee Kheng yang menyifatkan Guan Eng sebagai individu yang `tidak boleh disentuh (untouchable).

Semalam, percakapan Swee Kheng menyebut, ketika pihak SPRM memulakan siasatan kes terowong, negara ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) manakala Guan Eng terlepas daripada kes mahkamah berkaitan skandal banglo.

Muhamad Nazree bagaimanapun bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa adalah tidak masuk akal untuk menggambarkan Guan Eng `tidak boleh disentuh’ kerana ketika percakapan Swee Kheng dirakam pada Julai 2020, pertukaran kerajaan berlaku lebih awal iaitu pada Februari tahun yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 1 April ini.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya