GRS babitkan empat parti, UMNO tiada dalam senarai

GRS babitkan empat parti, UMNO tiada dalam senarai

HAJIJI Noor (dua kanan) bersama Jeffrey Kitingan (kanan), Maximus Ongkili (tengah) dan Yong Teck Lee (dua kiri) menunjukkan logo GRS semasa sidang akhar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketiadaan UMNO dalam senarai parti yang sama-sama membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi tidak akan membawa kepada ketidakstabilan politik di Sabah.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendaftaran GRS secara rasmi hanya melibatkan empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Dalam kerajaan, kita masih bersama-sama dan Barisan Nasional (BN)-UMNO akan bekerjasama dengan GRS dalam mentadbir negeri Sabah seperti sekarang.

“Dalam gabungan rasmi ini, kita hanya ada empat parti manakala, BN-UMNO adalah rakan kita dalam kerajaan GRS di peringkat negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama GRS hari ini.

Ketua Menteri itu juga memberi jaminan bahawa pergolakan politik antara Bersatu dan UMNO di Semenanjung Malaysia tidak akan memberi impak kepada Sabah kerana keadaan di negeri ini berbeza.

Menurutnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik namun, apa yang berlaku di Melaka dan Johor tidak sama dengan keadaan di Sabah.

“Kemungkinan besar budaya pemikiran politik (Sabah) agak berbeza dengan di sana jadi, apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak akan memberi impak yang boleh memudaratkan keadaan politik di Sabah terutama GRS,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), komponen-komponen GRS mungkin akan bertanding menggunakan logo GRS kerana beliau yakin gabungan itu mempunyai masa yang mencukupi untuk memperkenalkan jenama GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu berkata, GRS sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa, sama ada tahun ini mahupun awal tahun depan.

Hajiji turut mengumumkan senarai barisan kepimpinan tertinggi GRS yang terdiri daripada tiga Timbalan Pengerusi iaitu Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (PBS), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (STAR) dan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP), Datuk Seri Masidi Manjun selaku Setiausaha Agung.

Mengulas lanjut katanya, pendaftaran GRS secara rasmi akan mewujudkan kestabilan politik di Sabah. Pelancaran gabungan ini akan dilakukan pada minggu terkahir Mei.

Dalam pada itu, beliau berkata, GRS telah mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk memberi laporan kepada Majlis Tertinggi mengenai permohonan parti-parti yang ingin menyertai GRS seperti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya