IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak tidak menerima sebarang panggilan kecemasan susulan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia awal pagi tadi.
Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, tiada aduan diterima oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) daripada individu yang merasai gegaran mahupun premis atau bangunan yang mengalami rekahan akibat gegaran gempa bumi.
“Setakat ini tiada laporan diterima di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Satu gempa bumi kuat berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan kepulauan Sumatera hari ini hingga menyebabkan penduduk lari bertempiaran.
Gempa bumi itu berlaku pada pukul 4.06 pagi waktu tempatan pada kedalaman 21 kilometer dan berpusat 167 kilometer ke barat bandar Pariaman.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada kedudukan 89 kilometer (km) barat laut dari Siberut, Indonesia dengan kedalaman 10km.
“Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN










