PETALING JAYA: Penduduk di kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, dilihat mula mengosongkan rumah mereka susulan kejadian gelongsoran tanah terbaharu yang berlaku semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati, beberapa penduduk mengemas pakaian dan meninggalkan kediaman masing-masing.
Malah, terdapat penduduk yang berpindah sejak Khamis lalu pulang ke rumah untuk mengambil barangan peribadi.
Bagaimanapun, sebahagian penghuni kediaman yang tinggal kira-kira 50 hingga 100 meter dari lokasi kejadian masih tinggal di rumah masing-masing.
Setakat pukul 3.30 petang ini, tiada kerja-kerja pembersihan dilaksanakan di lokasi kejadian.
Dalam kejadian pukul 7 malam tadi, terdapat kegelongsoran tanah di lokasi sama pada Khamis lalu.
Susulan itu, polis mengeluarkan arahan terhadap sebanyak 15 buah kediaman bagi mengosongkan rumah buat sementara waktu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan MPAJ Cheras Baru susulan kejadian terbaharu itu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada penduduk yang berdaftar di PPS tersebut.
“Mungkin mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara-mara atau di hotel buat sementara ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kira-kira 200 penghuni di 48 rumah di Taman Bukit Permai 2 di Ampang diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci di kawasan tersebut.
Dr. Ani yang juga Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat dilaporkan berkata, tindakan itu susulan pemantauan awal mendapati terdapat rekahan tanah yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah terus berlaku.- UTUSAN