SHAH ALAM: Kira-kira 2.576 juta penagih di Selangor dan Johor terpaksa menggigit jari apabila sebanyak 1,290 pek ganja gred dua bernilai RM3.33 juta dirampas polis pada Khamis lalu.
Dadah seberat 1.33 tan metrik itu dirampas polis dalam serbuan sebuah rumah di Subang Jaya yang dijadikan stor penyimpanan dadah berkenaan.
Serbuan berkenaan membawa kepada penangkapan empat lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dalam tiga tempat berasingan termasuk di Rawang dan Semenyih pada hari yang sama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan terbabit dilakukan dengan kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Selangor yang mengesan sindiket berkenaan mula aktif pada pertengahan Januari lalu.
“Daripada empat yang ditangkap, dua adalah penganggur, seorang ahli perniagaan dan seorang lagi adalah bekerja sebagai despatch. Saringan awal polis terhadap empat suspek terbabit, terdapat salah seorang daripada mereka positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).
“Semakan rekod jenayah juga mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah yang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B akta sama. Jika sabit kesalahan, kesemuanya boleh dikenakan hukuman gantung.
Dalam operasi sama, Ayob Khan memaklumkan polis turut menyita pelbagai aset milik sindiket terbabit seperti empat buah kereta serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM332,900 dan jumlah rampasan termasuk dadah adalah sebanyak RM3.7 juta.
Beliau menambah, polis masih lagi melakukan siasatan bagi mengenal pasti pergerakan aktiviti sindiket berkenaan.
Dalam pada itu, Ayob Khan sekali lagi menegaskan berlaku peningkatan penyeludupan dadah di negara ini yang dibawa masuk melalui sempadan di utara tanah air.
Menurutnya, ganja terbabit yang dibawa masuk melalui laluan darat itu perlu terus diedar kepada penagih dan tidak boleh disimpan terlalu lama untuk elak kualitinya menurun.
“Seperti mana dikatakan dalam sidang akhbar lepas, kita dapati terdapat peningkatan ketara kemasukan dadah jenis ganja dari Golden Triangle ke Malaysia, musim menuai sekarang ini.
“Di sempadan negara kita, banyak lorong-lorong tikus yang boleh digunakan untuk seludup dadah, banyak kaedah digunakan, tetapi mereka memang menggunakan jalan darat,” jelasnya. – UTUSAN