Galakkan penggunaan vape, mampu kurangkan populasi perokok - Utusan Malaysia

Galakkan penggunaan vape, mampu kurangkan populasi perokok

DR. Steven Chow (kiri), Pankaj Kumar dan Dr. Ariffin Fii ketika ‘Media Roundtable: Clearing The Smoke - A Game Changer for Malaysian Smoking Issues’ di Bungalow 37, Jalan Abdullah, Bangsar. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Galakan terhadap penggunaan vape disifatkan sebagai pengubah keadaan (game-changer) apabila mampu mengurangkan sejuta populasi perokok menjelang 2025.

Ini sekali gus mengurangkan populasi perokok ketika ini iaitu daripada lima juta kepada empat juta orang.

Ini berdasarkan penemuan dalam laporan yang diterbitkan oleh Datametrics Research and Information Centre (DARE) dan dibincangkan dalam sesi meja bulat bersama tiga panel semalam.

Salah seorang panel, Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, penemuan itu menunjukkan bahawa vape mempunyai peranan penting dalam menghentikan budaya merokok di negara ini.

“Dengan menggalakkan lebih ramai orang bertukar daripada merokok kepada vape, negara boleh mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatan untuk berkaitan merokok penyakit sebanyak RM1.3 bilion pada 2025 sahaja,” katanya.

Perkara itu disokong oleh pakar perubatan pengamal dengan tumpuan kepada terapi ketagihan, Dr. Arifin Fii yang memberikan contoh bagaimana United Kingdom (UK) berjaya mengurangkan populasi perokok di negara Eropah itu.

“United Kingdom menggunakan strategi dengan menggalakkan penggunaan vape dan berjaya mengurangkan dua juta populasi perokok daripada seramai 7.7 juta perokok pada 2011 kepada 5.7 juta perokok pada 2019.

“Malah, pada Jun 2021, UK mendapati 66 peratus pengguna vape adalah bekas perokok tembakau, maknanya ada sebilangan besar yang berhenti merokok. Jadi melalui vape, ia dapat membantu Malaysia mencapai sasaran 15 peratus populasi perokok pada 2025,” katanya.

Pada masa sama, kata Arifin, laporan DARE juga mendapati risiko penggunaan vape mencatatkan 95 peratus kurang bahaya berbanding rokok tembakau.

“Memang ada yang masih skeptikal dengan penggunaan vape, tetapi vape tidak melibatkan pembakaran daun tembakau, tidak menghasilkan bahan tar, karbon monoksida mahupun karsinogen.

“Boleh dikatakan nisbah bahaya antara vape dan merokok adalah 1: 100. Oleh itu, vape tidak berbahaya dan lebih selamat berbanding rokok tembakau,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr. Steven Chow berkata, galakan penggunaan vape perlu diselarikan dengan peraturan dan penguatkuasaan terhadap rokok tembakau.

“Setiap negara mempunyai cara berbeza untuk menghentikan budaya merokok, penguatkuasaan juga berbeza tetapi kita perlu ada peraturan yang sewajarnya. Negara-negara lain seperti UK dan New Zealand, mereka sudah lama galakkan penggunaan vape, tetapi jika kita mulakannya sekarang, ia akan jadi pengubah keadaan,” katanya.

Justeru, Pankaj menyeru kerajaan supaya menggalakkan pengunaan vape melalui industri vape yang sedang berkembang hebat di negara ini.

“Industri vape Malaysia berkembang mekar tanpa bantuan kerajaan, kita boleh lihat ramai pengusaha vape termasuk pengusaha Bumiputera menjadi usahawan yang berjaya.

“Oleh itu, kerajaan perlu memberikan sokongan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan beri peluang kepada industri vape untuk berkembang luas.

“Setakat ini, industri vape negara menjana pendapatan RM2.2 bilion dan dijangka bernilai RM10 bilion tidak lama lagi. Ambillah langkah untuk membantu industri vape negara dan perluaskannya ke eksport luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN