MARAN: Felda Keembong Jengka 6 dan Felda Kenanga Jengka 7 di sini, seolah-olah menjadi ‘kawasan wajib’ kejadian mini puting beliung yang melanda setiap dua atau tiga tahun sekali.
Terbaharu, kehadiran puting beliung bersama hujan lebat dan ribut lewat petang semalam menyebabkan sebanyak 60 rumah dan kemudahan awam di tanah rancangan berkenaan rosak.
Kejadian ribut disertai hujan lebat dan petir selama 30 minit kira-kira pukul 6.30 petang itu turut menyebabkan sebuah culvert di Paya Teratai laluan ke Felda Jengka 6 runtuh dan tidak boleh dilalui kenderaan kecuali motosikal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Jengka 6, Saharudin Lela, 64, berkata, sebanyak 10 buah rumah di tanah rancangan tersebut terjejas dengan atap diterbangkan angin termasuk bumbung garaj kereta.
“Proses penyelenggaraan jalan sedang dilakukan Roadcare Maran manakala penilaian kerosakan sedang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Felda dan lain-lain agensi berkaitan.
“Penduduk berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana bergerak pantas merangka bentuk bantuan segera yang perlu diberi bantuan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak meninjau kawasan terlibat, hari ini.
Pengerusi JPKK Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim, 64, pula memberitahu, sebanyak lima buah rumah rosak termasuk sebuah dihempap sebatang pokok di bahagian dapur.
“Turut rosak bangunan awam antaranyasekolah agama rakyat, garaj masjid, sekolah, balai raya, kedai D’Mart dan kubah masjid,” katanya.
Menurutnya, angin ribut yang diikuti hujan lebat turut menurunkan ‘hujan batu’, iaitu satu fenomena yang jarang-jarang berlaku.
Sementara itu, seorang mangsa, Reduan Firdaus Remby, 43, menceritakan, dia terkejut mendengar dentuman kuat ketika hujan lebat di bahagian dapur rumah sekitar pukul 6.50 petang semalam.
Bagaimanapun ujarnya, dia bersyukur tiada sebarang kecederaan membabitkan lima ahli keluarganya. – UTUSAN