MELAKA: Setelah empat tahun berlalu, nasib 225 bakal penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang di sini masih ‘kelabu’, malah senarai pemohon juga terpaksa diperbaharui kerana dikhuatiri ada di antara mereka telah meninggal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telahpun menamatkan perkhidmatan kontraktor terdahulu yang dipercayai menjadi punca kelewatan pembinaan.
Katanya, projek pembangunan itu akan diteruskan oleh syarikat baharu dan dijangka proses pembinaan akan disambung semula pada Mei depan.
“Sepatutnya PPR Klebang ini siap pada 2018, namun disebabkan kelemahan kontraktor serta cabaran pandemik Covid-19, projek ini telah terbengkalai sehingga sekarang.
“Kita jangka projek ini dapat disiapkan dalam masa setahun lagi kerana melalui penelitian kasar, pembinaan telahpun mencapai 90 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan PPR Klebang di sini hari ini.
Tambahnya, bagi meneruskan pembinaan, KPKT juga telah membuat permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM16 juta kepada Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut mengenai bakal penyewa, beliau memberitahu, kediaman tersebut mempunyai 225 unit, namun senarainya perlu disusun semula.
“Kita akan susun semula, mungkin ada nama-nama (bakal penyewa) yang disebut telah meninggal dunia kerana projek ini tergendala agak lama. Kita akan lihat semula keperluan itu, kita akan menyediakan dengan senarai baharu yang sah hanya mereka yang masih hidup dan dibekalkan rumah sewaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, kerajaan negeri akan memohon untuk menjadikan konsep pemilikan kediaman tersebut daripada sewa sampai mati kepada unit sewa beli bagi membantu rakyat.
PPR Klebang mula dibina sejak 2016 dan dijadualkan siap pada 14 Oktober 2018. – UTUSAN










