BANDAR BAHARU: Empat buah rumah di Kampung Sungai Punti terjejas dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Punti di Mukim Serdang di sini melimpah berikutan hujan lebat lebih dua jam hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, seramai 19 mangsa terlibat dalam kejadian banjir kilat pada pukul 4.30 petang.
Menurutnya, kawasan kampung tersebut dinaiki air sedalam satu meter.
Bagaimanapun katanya, mangsa banjir teelibat tidak dipindahkan kerana air surut dengan cepat.
“Hujan lebat yang berlaku pada pukul 2 petang dan berlarutan lebih dua jam menyebabkan air dari Sungai Punti berdekatan mulai melimpah ke kawasan rendah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, seramai empat anggota APM dikejarkan ke tempat kejadian banjir bersama kelengkapan menyelamat mangsa banjir.
Tambahnya, anggota APM yang tiba di kampung itu mendapati masih dipenuhi air namun perlahan-lahan surut.
“Anggota kemudian membuat pemantauan di kawasan terbabit serta membantu penduduk mengangkat barangan penting,” jelasnya. – UTUSAN