PETALING JAYA: Sindiket pengedaran rokok tidak bercukai yang aktif di sekitar ibu negara tumpas selepas polis menahan empat lelaki di dua lokasi berasingan di Desa Pinggiran Putra, Sepang, Selangor dan Jalan Kuchai Lama, Taman Gembira, Sri Petaling, dekat sini semalam.
Menerusi operasi yang dilakukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih itu, sebanyak 7,310 rokok tidak bercukai, kenderaan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.6 juta dirampas.
Pegawai Pemerintah, Superintenden Rizal Mohamed berkata, tangkapan pertama telah dilakukan pada pukul 10.40 pagi semalam sebelum empat lelaki warga tempatan berusia 26 sehingga 70 tahun ditahan di Taman Pinggiran Putra, Sepang, Selangor.
Susulan penahanan itu, sebanyak lima buah kenderaan yang sedang memunggah rokok dirampas
“Hasil pemeriksaan, kita telah menemukan sebanyak 5,410 karton rokok tidak bercukai yang disorokkan di dalam kenderaan berkenaan dengan anggaran nilai sebanyak RM380,764 dan nilai cukai berjumlah RM670,462,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Rizal, bertindak susulan daripada tangkapan pertama, Pasukan Polis telah membawa seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ke sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, Taman Gembira, Sri Petaling dekat sini.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan, pihaknya telah menemukan 1,900 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam premis tersebut.
“Anggaran nilai rampasan sebanyak RM159,200 dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM260,384.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sepang, Selangor dan Ibu Pejabat Polis Brickfields untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Dalam pada itu, masyarakat diingatkan agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN