Ekonomi pintu masuk Kelantan pulih dalam masa setahun

Ekonomi pintu masuk Kelantan pulih dalam masa setahun

PLAZA IMT-GT Bukit Bunga di Tanah Merah, Kelantan terletak di pintu sempadan Kelantan-Thailand lengang sejak dua tahun lalu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Aktiviti ekonomi di pintu masuk antarabangsa negeri ini yang bersempadan dengan Thailand dijangka pulih antara enam bulan hingga setahun selepas pembukaan sempadan Malaysia-Thailand pada 1 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata,  Kelantan mempunyai tiga pintu masuk antarabangsa iaitu Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

Kata beliau, sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu, tiga lokasi tumpuan tersebut bertukar menjadi lengang tanpa kehadiran pengunjung sehingga aktiviti ekonominya hampir lumpuh.

“Jika dulu sebelum pandemik, lokasi ini menjadi pilihan ramai untuk membeli-belah, namun setelah dua tahun berdepan pandemik ia tidak lagi meriah, mengakibatkan ramai peniaga gulung tikar.

“Apabila pintu sempadan dibuka, kawasan bebas cukai seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor dijangka kembali meriah dengan kunjungan pelancong domestik dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

MUSTAPA MOHAMED

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli menyempurnakan Majlis Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, di sini yang dibina berhampiran Jalan Tanah Merah-Machang-Jeli dengan kos RM3.2 juta.

Majlis penyerahan balai bomba itu turut disaksikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Mohd. Suhaili Ismail.

Susulan peralihan Malaysia kepada fasa endemik 1 April ini, pintu sempadan Malaysia-Thailand dijadual dibuka semula pada tarikh sama bagi merangsang sektor pelancongan dan ekonomi kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN