PONTIAN: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berharap Sistem Elektronik Tandan Buah Segar (e-FFB) mampu membela nasib pekebun kelapa sawit di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, pelaksanaan sistem tersebut adalah usaha bagi menangani isu kecurian dan penipuan timbangan yang kerap ditimbulkan oleh pekebun kecil.
Katanya, projek rintis e-FFB dilaksanakan di Tanjung Piai pada 1 April tahun lalu melibatkan seramai 6,045 pekebun kecil kelapa sawit dengan kelusan 11,954 hektar.
“Kementerian menerima keluhan pekebun kecil yang mengalami kehilangan pendapatan sehingga 25 peratus disebabkan kecurian dan isu timbangan buah tandan segar (BTS).
“Kami berharap sekiranya sistem ini diperluas kelak, banyak manfaat dapat dinikmati terutama pekebun kelapa sawit yang mempunyai tanah di bawah lima ekar,” katanya ketika ditemui dalam Program Pendidikan dan Pertanian Putra bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) di pekarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi, di sini.
Tambah Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, dengan adanya e-FFB memastikan urus niaga lebih telus yang bermula daripada pekebun kecil, pembeli dan juga pengilang.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta UPM membuat kajian mengenai kesesuaian tanah di Pontian bagi tanaman kelapa sawit agar pengeluaran mereka meningkat.
Katanya, kebanyakan kawasan yang ditanam kelapa sawit adalagh tanah gambut menyebabkan daya tahan tidak begitu lama serta banyak pokok tumbang apabila mencapai usia 10 tahun.
“Mungkin perlu ada kajian awal supaya kelapa sawit yang ditanam di tanah gambut akan lebih tahan lama serta tidak berlaku pokok tumbang sehingga merugikan pekebun kecil,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kajian tersebut akan dapat membantu pekebun kecil mengambil langkah awal sebelum memulakan tanaman supaya tiada lagi berlaku masalah tersebut. – UTUSAN