BUTTERWORTH: Dua wanita kerugian sebanyak RM390,500 akibat diperdaya sindiket Macau Scam dalam dua kejadian berasingan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kes pertama melibatkan seorang pesara yang kerugian RM148,000.
Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya.
“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram. Mangsa diarahkan supaya membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang untuk tujuan siasatan selain mengelakkan wang itu dirampas.
“Bagaimanapun, mangsa yang akur menyedari wang simpanan miliknya dikeluarkan secara berperingkat selepas memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Mohd. Radzi berkata, kes kedua ditipu sindiket Macau Scam membabitkan kerugian berjumlah RM242,500.
Katanya, wanita terbabit menerima panggilan telefon daripada seorang ejen insurans yang memaklumkan mangsa mempunyai kes tuntutan palsu insurans selain terbabit dalam kes dadah.
“Untuk mengelakkan daripada ditangkap, mangsa kemudiannya diminta untuk mengaktifkan semula akaun bank miliknya dan memasukkan wang jaminan sebanyak RM280,000.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila cuba meminjam baki wang jaminan sebanyak RM37,500 daripada ahli keluarga selepas memasukkan RM242,500 ke dalam akaun terbabit. Mangsa mendapati wang yang dimasukkan juga telah dikeluarkan secara berperingkat,” katanya.
Jelas beliau, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN