PEKAN: Dua sahabat Orang Asli terkorban dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua jenis kenderaan iaitu Perodua Kancil dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan, di sini hari ini.
Kejadian pukul 3 petang itu menyebabkan pemandu kereta, Hasyim Amin, 29, dan penumpangnya, Dolah Muhtar, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, pemandu Toyota Hilux yang merupakan seorang wanita, Afiza Abdullah, 35, dan penumpangnya, Ab Razak Ab. Hamid, 38, hanya cedera ringan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua sahabat itu dalam perjalanan dari arah Chini menghala ke Kuantan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta Produa Kancil dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux dari arah Kuantan menghala ke Chini.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux dibawa ke Klinik Kesihatan Chini untuk mendapat rawatan kerana hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, pemeriksaan mendapati keadaan jalan adalah lurus dan rata serta mempunyai satu lorong dua hala dengan garis putus-putus sebagai pembahagi jalan manakala bahu jalan kiri dan kanan tidak berturap.
“Kemalangan meragut dua nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










