TANJUNG MALIM: Dua lelaki parah setelah tercampak keluar dari kereta yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Kilometer 377.4, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini hari ini.
Mangsa yang parah dikenali Aliff Solehin Shahronizam, 20, dan seorang lelaki warga Indonesia yang belum dikenal pasti identiti berusia lingkungan 30-an.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 11.45 pagi.
Katanya, setibanya jentera di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar pembahagi jalan dan terjatuh ke dalam gaung pada kedalaman dua meter.
“Terdapat dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan serius. Pengusung digunakan untuk membawa mangsa naik ke tebing. Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 12.25 tengah hari,” katanya. – UTUSAN