Dr. Mahathir akan utus surat terakhir sebelum 12 Mac - Utusan Malaysia

Dr. Mahathir akan utus surat terakhir sebelum 12 Mac

MUKHRIZ Mahathir (tiga kiri) bergambar bersama penduduk ketika melawat sekitar Taman Suria, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengutus amanat terakhir buat pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum hari mengundi Sabtu ini.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu mungkin tidak akan turun ke Johor lagi bagi berkempen tetapi mungkin ‘bertemu’ pengundi melalui surat itu.

“Alhamdulillah, beliau semakin hari semakin sihat, semalam ke Langkawi, jadi nampaknya beliau masih bertugas sebagai wakil rakyat di Parlimen Langkawi. Namun saya tak rasa beliau akan turun berkempen lagi dalam PRN Johor ini, tetapi seperti kita tengok sebelum ini beliau ada mengutus surat kepada pengundi Johor. Saya rasa ada mesej terakhir yang bakal beliau sampaikan sebelum hari mengundi pada Sabtu ini, insya-Allah,” katanya ketika ditemui semasa menyantuni penduduk di Taman Suria bersama calon Pejuang Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohamad Riadz Hashim.

Dr. Mahathir turun ke Simpang Renggam pada 3 Mac lalu bagi membantu kempen Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh yang bertanding di kerusi DUN Machap.

Sementara itu, Mukhriz berkata, Pejuang tidak menolak untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik sekiranya diperlukan bagi menubuhkan kerajaan negeri tetapi masih optimis mampu melakar kemenangan di lebih daripada 29 kerusi DUN.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan maklum balas positif yang diterima sepanjang tempoh kempen bermula selepas hari penamaan calon pada 26 Februari lalu.

“Apa yang penting (dalam kerjasama politik) adalah pihak berkenaan perlu berkongsi aspirasi yang sama dengan kita. Pihak terlibat rasuah, kleptokrasi, salah guna dan menyeleweng kuasa dan sebagainya kita tidak akan dekati,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Jerlun itu, rata-rata masyarakat khususnya pengundi Johor memahami dan menyokong pihaknya yang mahu bertanding secara solo bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu.

“Mereka bukan sahaja faham tetapi turut menyokong, ini merupakan satu kelebihan buat Pejuang di mana tiada mana-mana pihak boleh campur tangan dalam aspirasi Johor yang telah kita janjikan kepada rakyat. Pejuang yakin mampu melakar kejutan dalam PRN Johor ini sekali gus mendirikan kerajaan bersendirian secara solo.

“Semasa berkempen di kawasan Felda khususnya, terdapat rungutan terhadap kerajaan sedia ada berkenaan beberapa isu melibatkan warga peneroka, antaranya isu perumahan melibatkan generasi kedua. Saya sendiri rasa terkejut kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini boleh ditembusi Pejuang, malah banyak bendera-bendera Pejuang turut dinaikkan di kawasan berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN