KUALA LUMPUR: Isu mengenai kebenaran semua hospital kendalian sektor swasta untuk mengambil doktor pasca siswazah menjalani latihan di peringkat kepakaran antara perkara yang dijadual dibangkitkan dalam sesi pertanyaan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 yang memasuki minggu ketiga, bermula hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pertanyaan berkenaan akan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah) kepada Menteri Kesihatan bagi memperincikan persoalan berkenaan.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh (Pejuang) pula, dijangka bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai statistik bilangan pegawai perubatan tetap dan kontrak yang telah meletak jawatan mengikut tahun dan faktor mereka bertindak demikian.
Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran (PH-DAP) meminta supaya Menteri Sumber Manusia menyatakan sebab kerajaan bercadang melaksanakan gaji minimum RM1,500 hujung tahun ini dan bukan melaksanakannya dengan segera.
Dalam isu sama, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (BN-UMNO) pula dijangka meminta supaya Menteri Sumber Manusia menyatakan strategi kerajaan dalam menetapkan gaji minimum RM1,500 dalam usaha mengimbangi kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40).
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) pula meminta kerajaan menyatakan jika akan meningkatkan tangga gaji minimum ke paras RM1,600 untuk membantu golongan pekerja berdepan peningkatan kos sara hidup.
Selain itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (PH-Amanah) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha-usaha kerajaan bagi mengatasi masalah kematian dalam tahanan yang semakin meningkat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status siasatan mengenai kebocoran pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah dimulakan tahun lalu dan langkah-langkah bagi mengatasi masalah kebocoran maklumat peribadi rakyat berulang.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – UTUSAN










