PUTRAJAYA: Teknologi Sistem Nama Domain (DNS) mempunyai potensi luar biasa bagi menambah baik pembangunan sosial dan ekonomi serta perlindungan persekitaran.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, teknologi tersebut adalah pemacu kritikal bagi transformasi digital dan penting untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Beliau berkata, DNS sedang mencipta rangkaian peluang baharu, produk digital dan perkhidmatan untuk setaraf kedudukan dengan negara lain.
“Sudah tiba masanya untuk negara kita bertindak pantas dan menerima evolusi digital baharu ini kerana ia berupaya bersaing dalam ekonomi digital global,” katanya ketika berucap melancarkan Forum DNS Asia Pasifik (APAC) 2022 di sini hari ini.
DNS ialah komponen yang mengikat rangkaian dan pelayan yang membentuk internet.
Zahidi berkata, beliau yakin Malaysia akan terus menyesuaikan diri dan berdaya tahan terhadap landskap yang pantas berubah ini sekali gus kekal berdaya saing di peringkat global.
Menurutnya, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada perniagaan di seluruh dunia dan menyebabkan banyak syarikat dan organisasi mengikuti trend transformasi digital untuk kekal relevan dan mapan.
“Negara juga telah melihat pertumbuhan yang luar biasa dalam langganan nama domain di peringkat tempatan dan antarabangsa. Malah, pandemik ini juga telah mempercepatkan kitaran pembelajaran dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus menyediakan infrastruktur digital yang boleh diakses dan berpatutan untuk semua.
“Justeru kerajaan telah menambah baik infrastruktur asas yang sejajar dengan inisiatif Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Tindakan 4IR (MyDIGITAL) serta Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) 2019-2030. Saya mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia menerima dan membangunkan teknologi baharu yang akan membentuk masa depan untuk kebaikan rakyat dan dunia,” katanya. – UTUSAN