Datuk Seri: Wanita tak mengaku tipu ahli perniagaan - Utusan Malaysia

Datuk Seri: Wanita tak mengaku tipu ahli perniagaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan mengenai tawaran untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri’ sehingga menyebabkan mangsa kerugian melebihi RM94,000.

Mengikut pertuduhan, Ong Li Shi, 39, didakwa memperdayakan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 33 tahun sehingga menyebabkan mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM94,850 melalui beberapa transaksi deposit ke akaun Public Bank milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 9 Disember 2021 di sebuah restoran, Jalan Bukit Bintang di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau tidak melebihi 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, rakan wanita terbabit, Chin Kah Fook, 33, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang RM75,150 milik mangsa sama sedangkan jurulatih seni mempertahankan diri itu mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 14 Januari lalu di restoran sama dan pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kes membabitkan Li Shan, Majistret Wong Chai Sia membenarkan wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 April ini.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim pula membenarkan Kah Fook diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pads 1 Jun ini.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal dan Amalina Johar.

Menurut laporan media bertarikh 16 Mac lalu, seorang lelaki mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM294,850 selepas ditipu sindiket tawaran Darjah Kebesaran membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak dalam laporan media itu dipetik berkata mangsa yang berusia 33 tahun, sebelum itu ditawarkan darjah berkenaan pada 1 Disember 2021 oleh seorang suspek lelaki tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata suspek menetapkan syarat bahawa mangsa perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana bagi mendapatkan darjah kebesaran tersebut.

Menurut polis, mangsa telah membuat bayaran tunai RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek dan selepas membuat bayaran, mangsa diberikan dokumen Watikah Penganugerahan Darjah Kebesaran, dua keping kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta Darjah Kebesaran milik sebuah negeri.

Bagaimanapun rakan mangsa yang juga seorang Datuk Seri memaklumkan bahawa pelantikan berkenaan adalah meragukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya