Datuk Addy Kana didenda maksimum RM10,000 - Utusan Malaysia

Datuk Addy Kana didenda maksimum RM10,000

ZAIDI Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana tiba di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor, hari ini bagi tuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram yang disiasat SPRM tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau popular dipanggil Datuk Addy Kana dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dia dijatuhkah hukuman sedemikian oleh Hakim, Rozilah Salleh selepas mengaku bersalah tidak melapor permintaan rasuah sebanyak RM110,000, tiga tahun lalu.

Selain denda, Rozilah turut mengarahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya Zaidi, 38, gagal menjelaskan denda terbabit. Bagaimanapun, Addy membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada lima orang cahaya mata itu didakwa  tanpa alasan munasabah telah tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong pada Julai 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Zaidi yang merupakan seorang pekerja kepada ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan berunsur tidak bermoral dan perjudian telah bertemu dengan seorang penguat kuasa.

Penguat kuasa tersebut telah meminta suapan RM110,000 setiap bulan dengan tujuan tidak mengambil tindakan atas perniagaan majikannya dan Zaidi tidak melaporkan perbuatan itu kepada SPRM atau polis.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Zaidi yang diwakili peguam bela, Effa Azuin Aidrul Hisham memohon hukuman dalam bentuk denda dan sedia membayarnya.

Zaidi yang mempunyai seorang isteri yang masih berpantang selepas melahirkan anak kelimanya turut menjaga bapa yang berusia 74 tahun.

“Beliau menyesal dengan kesalahan ini dan berjanji tidak mengulanginya. Pengakuan bersalahnya juga telah menjimatkan kos dan masa pihak-pihak,” kata Effa Azuin.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab bagaimanapun memohon kepentingan awam diletakkan sebagai pemberat dalam menentukan hukuman.

“Tertuduh gagal memaklumkan kepada SPRM atau polis bahawa dia diminta suapan rasuah RM110,000 setiap bulan. Tertuduh seharusnya lebih mengetahui dan bertanggungjawab jika terdapat apa-apa permintaan rasuah, seharusnya lapor kepada pihak berkuasa,” jelasnya.

Rozilah sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan Zaidi bahawa kesalahan tidak melaporkan rasuah merupakan satu perbuatan serius dan jika dilaporkan, ia boleh mencegah dan mengekang rasuah daripada berlaku.

Sementara itu, sumber memberitahu, pihak SPRM juga dalam proses melucutkan hak aset beliau bernilai kira-kira RM1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya