DAP tetap capai sasaran PRN Johor

DAP tetap capai sasaran PRN Johor

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika meninjau bilik rawatan di Pusat Perubatan Nuklear di Hospital Adventist Pulau Pinang, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: DAP tetap menyifatkan parti itu berjaya mencapai sasaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas menang 10 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP sedar gelangang PRN Johor adalah  satu cabaran besar memandangkan situasi politik negara telah berubah.

“Kita sememangnya menjangkakan sasaran enam hingga 10 kerusi (menang) kerana kita tahu kita hadapi cabaran mengekalkan 14 kerusi yang kita pegang. Tetapi keputusan semalam saya percaya DAP berasa sasaran dicapai, walaupun kita tidak menang kesemuanya tetapi 10 kerusi dengan suasana politik sekarang ini kita rasa sasaran tercapai,” katanya selepas merasmikan Pusat Perubatan Nuklear di Hospital Adventist Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pusat Perubatan Nuklear di hospital berkenaan adalah pusat perubatan nuklear komprehensif milik hospital swasta yang pertama di utara semenanjung.

PRN Johor menyaksikan PH bersama rakan sekutunya memperoleh kemenangan bagi 13 calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 57 calon yang dipertaruhkan. Daripada jumlah itu, DAP memenangi 10 kerusi manakala PKR, Amanah dan Muda masing-masing satu kerusi.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, PRN Johor hanya permulaan untuk DAP dan parti itu meneruskan gerak kerja politik di Johor serta negeri-negeri lain.

Malah katanya, parti itu juga bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 atau PRN di negeri-negeri lain sekiranya berlaku dalam tempoh terdekat.

“Sementara kita tunggu PRU-15 atau PRN kita akan teruskan gerak kerja politik di setiap negeri. Setiap negeri perlu sentiasa bersiap sedia memandangkan bahang pilihan raya adalah berlainan pada masa ini kerana secara tiba-tiba boleh diadakan PRN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya