Calon Bebas tekad bela nasib 10,000 penghuni PPR

Calon Bebas tekad bela nasib 10,000 penghuni PPR

MOHARAM BOHAROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang bertekad untuk membela nasib kira-kira 10,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang yang sudah berlarutan sejak 14 tahun. 

Moharam Boharom berkata, kesemua penghuni di sana masih lagi menyewa PPR tersebut meskipun telah dijanjikan pemilikan tetap sejak diarah berpindah dari Bukit Cagar dan Lumba Kuda untuk tujuan pembangunan di situ. 

Justeru, Moharam berkata,  perkara pertama yang akan dilakukan adalah untuk menyelesaikan isu pemilikan PPR itu sehingga selesai jika dia dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan dan dalam masa sama tetap membela nasib semua kaum. 

“Janji-janji palsu dari wakil rakyat sebelum ini membuat saya terpanggil untuk bertanding sebagai calon Bebas. Kita memahami mereka tak dapat tunaikan 100 peratus, tetapi perkara ini sudah 14 tahun. 

“Siapa tidak sedih sudah 14 tahun menyewa dan mereka bila-bila masa sahaja boleh ‘dihalau’ keluar dari PPR ini. Ada juga yang telah meninggal dunia tanpa sempat merasa memiliki rumah sendiri.

“Sudah beberapa kali kerajaan di Johor ini bertukar kepimpinan, tetapi nasib warga PPR Sri Stulang ini masih juga sama, hanya dijanjikan namun tidak pernah seorang pun tunaikan,” katanya ketika ditemui di sini. 

Menurut Moharam, dia sedar pencalonannya dalam pilihan raya negeri ini mungkin berdepan kekalahan sehingga hilang wang deposit. 

“Tetapi saya tak kisah semua itu kerana menang itu adalah satu bonus bagi saya dan pengundi DUN Stulang. 

“10 tahun dulu saya sudah berusaha untuk membela nasib penduduk DUN Stulang khususnya PPR Sri Stulang. Saya menggunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi impak setiap tahun, jadi kalah menang kami tetap teruskan. 

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia akan menyertai parti mana-mana jika menang, Moharam berkata, dia lebih selesa menjalankan ‘kerjanya’ secara solo tanpa terikat oleh mana-mana parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya