KOTA KINABALU: Cadangan kerajaan ingin menambah kuota pengunjung di Pulau Sipadan, Semporna daripada 170 orang kepada 500 orang sehari tidak menerima respons yang baik daripada ahli biologi marin di negeri ini.
Tindakan kerajaan ingin meningkatkan kuota permit pengunjung itu dikhuatiri akan mengganggu ekosistem marin di Sipadan berikutan jumlah penyelam yang terlalu ramai.
Ahli biologi marin yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, pada Sabtu lalu seramai 20 orang penjawat awam melawat Sipadan bagi mengkaji keperluan meningkatkan kuota permit di Sipadan.
Jelasnya, wakil kerajaan itu telah berbincang secara terbuka dengan kumpulan penyelam dan pengunjung di Sipadan mengenai cadangan kerajaan ingin meningkatkan kuota permit kepada 500 orang sehari.
Mohamad berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengusaha pelancongan tempatan bimbang cadangan tersebut akan menjadi pengakhiran untuk Sipadan sebagai salah satu tapak selaman terbaik dunia.
“Peningkatan jumlah pengunjung, operator dan bot-bot yang memasuki Sipadan dikhuatiri akan mengganggu ekosistem marin di perairan berkenaan.
“Pulau sekecil Sipadan akan menjadi sesak sekiranya jumlah bot dan pengunjung ditambah terutama jika pengunjung tidak peka dengan ekosistem hidupan marin.
“Cadangan ini akan memberi impak negatif seperti merosakkan terumbu karang dan persekitaran marin di Sipadan. Jika terumbu karang rosak maka, pulau itu tidak akan menjadi kunjungan pelancong dan penyelam pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan telah menambah bilangan pengusaha yang dibenarkan masuk ke Sipadan daripada 12 kepada 24 operator bermula pada Jun 2019.
Peningkatan bilangan operator itu tidak melalui sebarang penilaian terperinci mengenai impaknya kepada persekitaran marin di Sipadan.
Justeru, pada kali ini, sebelum kerajaan meningkatkan jumlah kemasukan pengunjung atau penyelam di Sipadan, kajian terperinci harus dilakukan bagi memastikan ekosistem marin di pulau itu sentiasa terpelihara.
Jelasnya, kajian impak secara saintifik bagi tempoh lima tahun perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan diambil bagi menambah bilangan permit pengunjung ke Sipadan.
“Sekiranya kerajaan ingin menambah kuota sekali pun, biarlah peningkatan itu secara minimum dan bukannya sehingga 200 peratus seperti yang dicadangkan pada masa ini,” katanya. – UTUSAN