LANGKAWI: Penduduk di perkampungan haram di Bukit Malut di sini wajar dipindahkan segera ke penempatan baharu memandangkan kawasan tersebut semakin padat dan tidak selamat didiami.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, kerajaan negeri difahamkan bakal membangunkan projek perumahan baharu untuk menempatkan penduduk terlibat dalam tempoh terdekat ini.
Bagaimanapun menurutnya, rumah tersebut akan ditawarkan secara sewa beli dan tidak diberikan percuma.
Katanya, mereka juga tidak boleh kekal di penempatan terbabit kerana kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan tersebut termasuk pembinaan litar lumba.
“Proses pemutihan dan pemindahan penduduk di Bukit Malut itu diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri serta Pusat.
“Namun, kerajaan perlu menyediakan terlebih dahulu penempatan baharu kepada penduduk terlibat sebelum diarah berpindah.
“Penduduk juga perlu akur kerana tanah tersebut bukan milik mereka, sebaliknya tanah kerajaan dan swasta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan penduduk di perkampungan haram Bukit Malut di sini kecewa terhadap kerajaan negeri yang lambat bertindak dalam menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu yang semakin padat.
Kebanyakan penduduk terbabit yang mendakwa bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia mahu diberi perhatian memandangkan mereka selama ini dipinggirkan oleh kerajaan.
Seorang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Tepa, Bukit Malut, Taufik Abdullah, 47, berkata, penduduk di perkampungan itu mempunyai hak diberi penempatan yang lebih baik memandangkan mereka adalah rakyat Malaysia.
Mohd. Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri memberitahu, kerajaan juga perlu bertindak lebih tegas dalam proses memindahkan penduduk terlibat.
Jelasnya, langkah tersebut wajar diambil memandangkan isu penempatan di Bukit Malut telah lama berlarutan dan menjejaskan imej pelancongan pulau peranginan itu.
“Langkawi semakin membangun dan menjadi tumpuan pelancong jadi sudah tiba masa kawasan tersebut dibersihkan.
“Saya difahamkan jumlah penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri juga masih tinggi di penempatan haram itu dan mempunyai kadar jenayah yang tinggi,” katanya. – UTUSAN









