Buka pintu sempadan untuk pengundi luar Johor esok - Dr. Hatta - Utusan Malaysia

Buka pintu sempadan untuk pengundi luar Johor esok – Dr. Hatta

MOHD. Hatta Md. Ramli (kiri) diperkenalkan kepada pemain perlawanan pembukaan Kejohanan Bolasepak Piala FA Daerah Manjung Piala Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli di Seri Manjung semalam. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan perlu melonggarkan kemasukan pintu sempadan negara khususnya dengan Singapura bagi membolehkan rakyat Johor yang berada di negara itu dan negara lain pulang ke tanah air bagi mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli berkata, kerajaan masih mempunyai masa dan belum terlambat untuk melakukan demikian termasuk mendapatkan kerjasama dengan kerajaan Singapura agar kira-kira 200,000 pengundi yang kini berada di Singapura dapat balik mengundi di kawasan masing-masing.

“Saya menyeru kerajaan membuka pintu masuk dari luar negara untuk pengundi balik dengan mudah khususnya di Singapura kerana ramai pengundi Johor yang tinggal dan bekerja di Singapura, proses untuk masuk itu mesti dipermudahkan supaya demokrasi dapat dilaksanakan dan ramai pengundi dapat balik untuk mengundi.

“Jumlah peratusan keluar mengundi itu penting supaya PRN ini menjadi sesuatu keabsahan yang tinggi, lebih ‘sah’, berbeza jika keputusan pilihan raya ini hanya ditentukan oleh peratusan yang kecil, ia tidak dianggap demokratik, tidak memberikan makna yang besar (kepada parti yang menang),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan perlawanan pembukaan Kejohanan Piala FA Daerah Manjung Piala Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md Ramli di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini semalam.

Ditanya kemungkinan pintu sempadan tidak dibuka kerana kerajaan risau pengundi luar negara lebih ramai menyokong pembangkang seperti ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr. Mohd Hatta berpendapat sebaliknya.

“Apa isyarat yang kerajaan mahu beri kepada pengundi, adakah hendak menghalang penyokong pembangkang balik atau adakah itu andaian yang benar? Saya yakin yang berada di Singapura bukan semua menyokong pembangkang, mesti ada kalangan ahli keluarga (anggota parti memerintah yang bekerja di Singapura) yang menyokong kerajaan yang ada.

“Saya rasa tidak wajar kekhuatiran tidak bertempat itu disusahkan untuk mereka balik, jadi saya menyeru kerajaan segera melaksanakan dasar pintu terbuka dengan mendapat kerjasama yang baik dengan kerajaan Singapura bagi membolehkan perkara ini dipermudahkan untuk hari pengundian esok. Asalnya dulu disebut 1 Mac pintu sempadan dibuka, jadi kita melihat itu satu perkembangan yang positif jugalah (untuk PRN Johor), tetapi perkara ini tidak berlaku, jadi susah jugalah pergerakan untuk rakyat Johor di luar negara menunaikan tanggungjawab mereka,” jelasnya.

Ahli Parlimen Lumut itu juga menyeru rakyat Johor agar menganggap PRN Johor itu sesuatu yang sangat penting dalam memilih kerajaan yang mereka mahukan untuk tempoh lima tahun akan datang kerana kegagalan keluar mengundi akan menyebabkan mereka boleh dianggap tidak layak menegur wakil rakyat yang tidak bekerja kerana mereka sendiri tidak terlibat memilih kerajaan yang diingini.

“Lebih tinggi yang keluar mengundi maka lebih kuat suara rakyat tetapi jika yang keluar mengundi hanya antara 50 hingga 60 peratus, bermakna ada 40 peratus lebih suara rakyat Johor tidak didengari,” katanya.

Mengenai kempen Pakatan Harapan (PH) khususnya Amanah, beliau menjelaskan kerjasama sesama parti dalam PH didapati semakin mantap dan baik, termasuk dengan parti Muda sekali gus ia menjadi seolah-olah satu ‘cahaya’ untuk menggabungkan semua parti pembangkang dalam satu wadah pada PRU akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya