SEPANG: Hasrat seorang kanak-kanak pesakit kanser tulang, Muhammad Syakir Rendra, 7, untuk bergelar anggota bomba tercapai apabila dia diberi peluang ‘bertugas’ di Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, hari ini.
Lebih manis, impian itu ditunaikan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang kebetulan jatuh pada hari ini.
Pada program itu, Muhammad Syakir kelihatan bergaya dengan seragam lengkap bomba selain turut diberi kesempatan mengendalikan salur bantu mula (hose) dan menaiki jentera bomba.
Detik manis itu turut disaksikan ibu bapanya, Nur Shuhada Ahmad Zawawi, 28, dan Rendra Mohd. Rasip, 27, serta dua orang adiknya, Muhammad Syahir, 4, dan Nur Shaheera, 2.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maarif serta 12 orang pegawai dan anggota bomba balai berkenaan.
Nur Shuhada ketika dihubungi berkata, dia berterima kasih kepada anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Sepang kerana membantu merealisasikan hasrat anak sulungnya itu.
Katanya, anaknya mengakui sangat teruja dan seronok pada hari ini kerana impiannya selama ini sudah tercapai.
“Sejak kecil dia sangat minat dengan bomba dan teruja setiap kali mendengar siren kecemasan bomba malah, dia juga bercita-cita untuk berkhidmat sebagai anggota bomba,” katanya yang juga kerani sekolah di sebuah sekolah rendah di sini.
Jelas Nur Shuhada, anaknya disahkan menghidap kanser tulang pada Oktober tahun lalu dan kini sudah melengkapkan 12 rawatan kemoterapi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
Nur Shuhada berkata, anaknya dijangka menjalani pembedahan bagi menggantikan tulang yang reput di bahagian bahu kiri di hospital sama pada 28 Mac ini.
“Doktor memaklumkan, operasi pembedahan itu agak berisiko kerana kedudukan tangannya yang reput itu terletak berhampiran pembuluh darah yang mungkin akan menjejaskan fungsi tangan kirinya itu. Ketika ini, dia kerap pengsan, mudah demam dan cepat keletihan dipercayai berpunca daripada kesan rawatan kemoterapi yang dilakukan sejak Oktober tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Azrul Faizal berkata, pihaknya dihubungi ibu Muhammad Syakir menerusi Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Sepang pada Jumaat lalu bagi memohon keizinan untuk meraikan hasrat kanak-kanak itu.
“Alhamdulillah, kami terus menyatakan persetujuan pada hari yang sama selepas mendapat kebenaran daripada Ibu pejabat Bomba dan Penyelamat. Kami dari warga kerja Balai Bomba dan Penyelamat Sepang mendoakan agar Muhammad Syakir kuat semangat serta cepat sembuh dan sihat seperti sediakala,” katanya. – UTUSAN










