PETALING JAYA: Sepasang suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pembocoran maklumat membabitkan tender Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bernilai lebih RM1.2 juta.
Kedua-dua berusia 44 dan 42 tahun di ditahan petang semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Satu sumber memberitahu, perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 27 Mac 2022 tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret, Putrajaya, pagi ini.
“Suspek wanita yang merupakan seorang pengarah dan terbabit dalam pemilihan kontrak LLM dipercayai membocorkan maklumat tender bernilai RM1.2 juta kepada suaminya.
“Sebagai balasan syarikat milik suaminya dilantik sebagai sub kontraktor kepada satu lagi syarikat yang berjaya mendapat projek berkaitan sistem elektronik pada tahun 2020,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber itu, kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN