PONTIAN: Peratusan undi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mustahil berlaku kerana golongan pengundi termasuk orang dewasa bimbang dengan penularan Covid-19.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut berkata, kebimbangan itu menyebabkan mereka tidak ghairah keluar mengundi pada PRN Johor hari ini.
“Saya dapati ramai pengundi golongan dewasa mungkin bimbang atas sebab Covid-19 menyebabkan mereka tidak begitu ghairah keluar undi. Situasi ini berlaku dalam semua kaum baik Melayu, Cina dan India.
“Selain itu warga tua juga dilihat tidak begitu ramai keluar mengundi kemungkinan ada masalah kesihatan dan turut bimbang dengan penularan Covid-19 ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Sebelum itu, Hasni hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas pada pukul 4.30 petang tadi.
Setakat pukul 4 petang, peratusan keluar mengundi mencatatkan hanya 50 peratus secara keseluruhan daripada 2.59 juta pengundi yang layak memilih.
Namun, calon Menteri Besar BN itu melahirkan keyakinan jumlah peratusan pengundi akan meningkat sehingga 70 peratus sebelum tempoh pengundian berakhir pada pukul 6 petang.
“Penting di setiap pusat pembuangan undi itu tiada peraturan menyekat pengundi datang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Jelas ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan dan lokasi tidak menjadi halangan untuk menyekat atau menyukarkan mereka pergi mengundi. Setiap kali pilihan raya keadaannya berbeza,” katanya.
Hasni berdepan saingan empat penjuru di Benut pada PRN Johor kali ini setelah dicabar Datuk Isa Ab. Hamid (Perikatan Nasional), Haniff@Ghazali Hosman (PKR) dan Iskandar Noor Ibrahim (Parti Pejuang Tanah Air). – UTUSAN