Bernas perluas Smart SBB ke 12 lokasi - Utusan Malaysia

Bernas perluas Smart SBB ke 12 lokasi

PROGRAM Smart SBB memfokuskan ke arah amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) terus memacu perkembangan yang positif dengan melebarkan keluasan hektar ladang padi di bawah Program Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

Ketua Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Norhisham Abdul Rahman berkata, Smart SBB yang bermula dengan dengan empat lokasi penanaman pada awal tahun lepas telah diperluaskan kepada 12 lokasi di seluruh negara.

Menurutnya, setakat ini, lokasi yang terlibat meliputi kawasan di Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi di Perlis; Bukit Besar, Kedah; Sungai Manik, Perak; Tok Kamis dan Jelor, di daerah Pasir Putih, Kelantan; Gong Dasar, Terengganu; Gancong Hulu, Rompin Pahang; Batang Lupar, Sarawak serta Kampung Kalumbai, Kota Belud di Sabah.

“Smart  SBB merupakan satu program kerjasama di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, syarikat-syarikat peneraju seperti Bernas, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan lain-lain lagi bersama pesawah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norhisham memberitahu, penglibatan pesawah merupakan elemen terpenting program ini.

“Sehingga kini, Bernas telah berjaya membentuk pakatan kerjasama yang baik dengan hampir 465 orang pesawah berdaftar. Apa yang pasti, program ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen yang tinggi daripada para pesawah.

“Usaha kolektif secara berterusan ini amat penting dalam mendedahkan para pesawah tempatan dari segi pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi yang bersesuaian dengan perkembangan semasa, sekali gus mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara,” jelasnya.

Beliau menambah, beralih dari konsep pertanian konvensional, program Smart SBB memfokuskan ke arah amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi.

“Bagi merealisasikan usaha ini, Bernas yang merupakan antara perintis amalan pertanian lestari dalam sektor penanaman padi, turut bekerjasama bersama agensi-agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi tempatan.

“Kerjasama strategik ini merupakan satu platform di mana mereka akan menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran di dalam bidang yang berkaitan,” tambahnya.

Selain itu, menurutnya, pelbagai inisiatif sedang dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat seperti amalan kejuruteraan ekologi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).

Katanya, perkara lain yang dititikberatkan ialah penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah seperti penggunaan teknologi dron pelbagai aplikasi, pengamalan jadual kerja ladang yang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik yang lain.

Menurutnya, beliau percaya program ini merupakan suatu perancangan yang tepat ke arah pembangunan sektor padi tempatan, sekaligus memupuk kesedaran akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, mewujudkan keseimbangan ekologi di sawah, melindungi kesihatan pesawah dan memperbaiki pengetahuan teknikal pesawah termasuk kawalan penyakit di sawah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN