Berlabuh tanpa kebenaran, kapal tangki ditahan - Utusan Malaysia

Berlabuh tanpa kebenaran, kapal tangki ditahan

KRU warga Myanmar dan seorang warga tempatan ditahan oleh pihak Maritim Zon Miri di Kuala Bakam, Miri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah kapal tangki pada jarak lebih kurang tujuh batu nautika dari barat daya Kuala Bakam, malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, kapal tersebut ditahan pada pukul 9.30 malam kerana berlabuh di luar batas pelabuhan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kapal tersebut berdaftar di Pelabuhan Klang dan dikendalikan oleh lapan orang kru lelaki termasuk nakhoda, iaitu seorang warga tempatan dan tujuh warga Myanmar berusia antara 22 tahun hingga 53 tahun.

Beliau berkata, kesemua tujuh kru warga Myanmar tersebut turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa oleh pegawai penguat kuasa.

“Perintah penahanan ke atas kesemua kru dan kapal tersebut telah dikeluarkan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah dan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim berlaku di Perairan Zon Maritim Malaysia dan di perairan Zon Maritim Miri.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN