PETALING JAYA: Bekalan elektrik terputus menjadi petanda awal kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Permai 2, dekat sini pada Jumaat lalu.
Seorang penduduk, Muhammad Syahir Malek berkata, dia tidak menyangka ketiadaan elektrik di rumahnya ketika hari kejadian rupanya disebabkan tiang elektrik yang terletak berhampiran cerun telah tumbang.
Kata beliau, susulan daripada itu, dia bersama ibu dan bapa dan seorang adiknya cuba menjengah ke kawasan luar rumah.
“Namun, ketika itu, baru kami sedar telah berlaku kejadian tanah runtuh selepas mendengar jeritan jiran-jiran meminta tolong dan menyuruh kami keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
“Selepas itu, saya dah ahli keluarga terus keluar menaiki satu kenderaan tinggalkan kediaman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Muhammad Syahir, mereka sekeluarga kini tinggal sementara di rumah saudara di Shah Alam.
“Saya dan adik saya hari ini datang ke sini hari ini untuk mengambil beberapa barangan keperluan memandangkan esok kami telah mula berkerja,” jelasnya. – UTUSAN









