PASIR MAS : Kerajaan akan menggantikan semula rumah penduduk di negeri ini dan Terengganu yang musnah akibat banjir, baru-baru ini menerusi pembinaan baharu.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek pembinaan tersebut.
Katanya, mangsa yang terlibat perlu membuat laporan segera berkait dengan perkara tersebut kepada Pejabat Daerah atau pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing.
“Kerajaan juga akan menyelesaikan segera Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Bantuan-bantuan sebagaimana yang diumumkan sebelum ini seperti baucar pembelian barangan untuk membaiki rumah, baucar barangan elektrik, membaiki kenderaan dan banyak lagi masih dikekalkan,” katanya selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas di sini, hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, terdapat tiga kategori kerosakan rumah akibat banjir iaitu kerosakan yang kurang daripada RM5,000, kerosakan RM5,000 hingga RM15,000 dan yang musnah sepenuhnya.
“Bagi kerosakan kurang RM5,000, mereka boleh mendapatkan bantuan tunai segera manakala untuk kerosakan sehingga RM15,000, mereka perlu memaklumkan kepada pejabat daerah atau pemimpin masyarakat untuk dibaik pulih.
“Bagi kategori ketiga pula, KPLB akan membina rumah baharu untuk mangsa,” katanya.
Kata beliau, bantuan sebanyak RM10,000 turut diperuntukkan kepada keluarga yang menjadi korban banjir.
“Saya difahamkan setakat ini di Kelantan sudah ada empat kematian disebabkan oleh banjir,” ujarnya. – UTUSAN