Banjir: RM100 juta kerugian infrastruktur di Hulu Terengganu

Banjir: RM100 juta kerugian infrastruktur di Hulu Terengganu

MAMAD PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Kerosakan infrastruktur di daerah Hulu Terengganu akibat banjir puing baru-baru ini dianggarkan mencecah RM100 juta. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, daripada jumlah itu, hampir RM60 juta melibatkan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir susulan menara yang tumbang. 

Katanya, baki lain termasuk RM5 juta bagi jambatan di Belukar Bukit di samping jambatan bailey di SJSM. 

“Kita belum ada jumlah keseluruhan di seluruh negeri tetapi di Hulu Terengganu sahaja kerugian dianggarkan hampir RM100 juta,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Operasi SJSM ditutup sementara kerana menara penghantaran voltan tinggi tumbang dalam kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat luar biasa pada 25 Februari lalu. 

Bagaimanapun, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini memberi jaminan yang bekalan elektrik pengguna di pantai Timur tidak akan terjejas susulan penutupan sementara itu kerana bekalan yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional adalah mencukupi

Dalam pada itu, Mamad berkata, beliau difahamkan TNB akan membina menara sementara bagi menggantikan struktur yang tumbang. 

Katanya, hingga kini bekalan elektrik untuk pengguna di sekitar Hulu Terengganu masih mencukupi walaupun berlaku kerosakan di SJSM. 

“Untuk penggunaan biasa, kita dapati tiada sebarang masalah, tetapi kita berharap TNB dapat membaik pulih dalam kadar segera sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN