PASIR MAS: Kehadiran enam buah bot jenis Whaly 435 dijangka melancarkan lagi operasi menyelamat mangsa yang sering terkesan dengan banjir di daerah ini termasuk Rantau Panjang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, keupayaan bot ini yang boleh masuk ke kawasan perumahan, bandar, kampung dan kawasan terpencil dilihat mampu memberikan bantuan awal dalam kerja-kerja menyelamat.
Menurutnya, bukan itu sahaja, kemampuan Whaly 435 beroperasi di kawasan yang terdedah kepada air pasang surut dan perairan cetek memudahkan lagi tugas memindahkan mangsa banjir ke tempat lebih selamat.
“Insya-Allah, kehadiran bot ini mampu membantu pihak polis untuk memberikan respons dengan segera sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.
“Tahan lasak, tahap kestabilan yang baik semasa di dalam air dan mudah dibawa melengkapkan lagi pakej pada bot ini sekali gus memudahkan penugasan pihak kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, bot yang dibawa oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang itu kali pertama digunakan untuk operasi menyelamat mangsa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Katanya, bot sepanjang 4.35 meter itu dilengkapi dengan enjin sangkut berkuasa 40 kuasa kuda.
“Bot ini direka dan dibina dengan ciri-ciri kelebihan bagi memenuhi keperluan spesifikasi pasukan terutama untuk tugas mencari dan menyelamat serta operasi bantuan banjir,” ujarnya.
Mohd. Nasaruddin berkata, kemudahan aset ini telah dicadangkan untuk ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai-balai yang sering berdepan banjir. – UTUSAN