Bangun pagi, insya-Allah BN menang - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Bangun pagi, insya-Allah BN menang – Khaled Nordin

MOHAMED Khaled Nordin selesai mengundi bagi DUN Permas di Pusat Mengundi SK Taman Rinting 1, Pasir Gudang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir seawal pukul 8.07 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1 bagi melaksanakan tanggungjawabnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu memberitahu, beliau hadir awal bagi mengelak kesesakan pengundi selain bagi membolehkannya meninjau perjalanan PRN Johor di kawasan lain.

Katanya, beliau bangun pagi seperti hari-hari biasa namun mengakui mempunyai keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan muncul juara pada penghujung hari ini.

“Kita tahu ramai akan gunakan peluang dan hak mereka untuk undi, jadi untuk elak kesesakan orang ramai, saya datang awal hari ini. Bangun pagi tadi untuk solat Subuh, saya rasa seperti hari-hari biasa, namun insya-Allah BN boleh menang hari ini,” katanya ringkas ketika ditemui.

Ketika ditanya siapa yang beliau pilih selaku wakil rakyat di kawasan berkenaan, Mohamed Khaled hanya tersenyum dan menunjukkan warna pakaian yang dikenakannya.

“Tengok warna baju yang saya pakai ni, ini warna biru BN atau PN (Perikatan Nasional)?” Soalnya kembali kepada wartawan.

Penyelia Pusat Mengundi berkenaan, Mohd. Ghazali Hamat berkata, pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas itu memiliki lapan saluran untuk seramai 4,723 pengundi.

Permas menyaksikan perlawanan lima penjuru melibatkan calon BN (Baharudin Mohamed Taib), PN (Tazul Arifin), Parti Pejuang Tanah Air (Mahaya Ahad), Pakatan Harapan (Syed Othman Syed Abdullah) dan Parti Warisan Sabah (Mohamed Ridza Busu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN