ALOR GAJAH: Penduduk di Telok Gong di sini gempar apabila ratusan ikan Selangat dan Tamban ditemukan terdampar di sepanjang pesisir pantai di kawasan itu kira-kira tiga kilometer, sejak petang tadi.
Bangkai ikan yang terdampar juga mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan dengan sebahagiannya dalam keadaan isi perut terburai.
Seorang nelayan, Mohamad Arshad, 76, berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sejak dia menjadi nelayan di perairan berkenaan lebih 20 tahun lalu.
Dia yang juga bekas Ketua Nelayan Telok Gong turut dihubungi Jabatan Perikanan negeri kira-kira pukul 5 petang tadi berhubung kejadian luar biasa tersebut.
“Saya mula-mula tidak tahu kejadian ini sehinggalah dihubungi oleh Jabatan Perikanan yang ingin mendapatkan maklumat. Bila saya turun (ke pantai), memang terkejut bila tengok ratusan ikan terdampar di sepanjang pantai di Telok Gong, memang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad, dia juga turut berteka-teki dengan punca kejadian tersebut kerana ia hanya melibatkan dua jenis ikan.
“Saya hairan juga kerana ikan yang terdampar hanyalah ikan Selangat dan Tamban, saya masih tunggu maklumat daripada Jabatan Perikanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Najmi Hakim Zamri, 23, meluahkan perkara sama apabila dia dan kawan-kawan yang berkunjung ke pantai tersebut terkejut dengan kemunculan ratusan bangkai ikan.
“Saya memang jarang ke pantai tetapi memang peliklah kalau tiba-tiba banyak ikan mati dan terdampar di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosdi Abdullah turut turun padang bagi memeriksa kejadian tersebut.
“Setakat ini saya belum menerima laporan rasmi daripada pihak-pihak berkenaan. Namun dalam masa terdekat saya akan minta pihak Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengemukakan laporan kerana ada dakwaan kejadian berpunca daripada pencemaran laut,” katanya. – UTUSAN










