MELAKA: Bekas pemain tengah Melaka United (MU) tahun 2004 dan 2015, Mohd. Azizan Baba, 41, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, pagi tadi.
Menurut isteri arwah, Yusriati Mohd. Yunos, suaminya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 8.05 pagi kerana masalah jantung.
Katanya, Allahyarham yang menghidap penyakit kanser di paha kiri dimasukkan ke Hospital Melaka selepas mengadu sesak nafas sejak Ahad lalu.
“Selepas berbincang dengan adik-beradik arwah suami, dia telah dimasukkan ke hospital pada Isnin pagi. Keadaan kesihatannya merosot sewaktu mendapat rawatan di ICU dan kira-kira pukul 3.00 pagi tadi jantungnya terhenti, hingga doktor terpaksa menidurkannya dan menggunakan bantuan alat pernafasan. Namun doktor mengesahkan arwah suami saya meninggal dunia kira-kira pukul 8.05 pagi,” katanya dengan nada pilu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Bachang dekat sini.
Antara yang hadir menziarahi jenazah adalah Pengurus MU, Akramuddin Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem serta bekas pemain MU.
Allahyarham yang menghidap penyakit kanser sejak Ogos 2020 meninggalkan seorang balu serta lapan orang anak berusia antara dua hingga 15 tahun.
Yusriati menambah, keadaan suaminya semakin merosot selepas menjalani rawatan kemoterapi kali kedua di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor pada 13 Mac lalu.
Menurutnya, dia tidak menyangka, Mohd. Azizan akan pergi sekelip mata selepas hampir tiga tahun berjuang ekoran penyakit dihidapinya.
“Saya tidak tahu nak cakap apa. Pilu rasa hati khususnya anak-anak yang masih kecil menangis bertanyakan ayahnya. Saya reda dengan ketentuan Ilahi apabila suami saya sudah tidak ada lagi dan saya tabah menghadapi situasi ini untuk membesarkan lapan orang anak,” jelasnya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berpendapatan RM1,200 sebulan.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menghulurkan bantuan sebanyak RM50,000 pada 2021 bagi membiayai rawatan suaminya. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, Bachang, selepas solat Asar. – UTUSAN